1MDB Auditor General's Report: This is a copy of the Auditor General’s exact report, which we are uploading in stages over the coming week. We have re-typed the entire report in order to frustrate attempts to persecute whistleblowers. Please excuse any typing errors, the text is an exact replica.

BAB 1 PENGENALAN

1. PENGAUDITAN TERHADAP 1MALAYSIA DEVELOPMENT BERHAD

1.1. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2015 telah memutuskan supaya Jabatan Audit Negara (JAN) menentusahkan (verify) akaun syarikat 1MDB dan laporan yang berkaitan hendaklah diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Sehubungan itu, pengauditan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dijalankan oleh JAN mulai 10 Mac 2015.

1.2. Sebelum ini, pada 27 Februari 2015, PAC telah meminta JAN melaksanakan pengauditan terhadap 1MDB dengan memberi tumpuan kepada lima aspek seperti berikut:

Sumber dana kewangan berjumlah RM2 bilion yang diperoleh 1MDB dalam menjelaskan pinjamannya terhadap beberapa bank tempatan;
Suntikan dana kewangan baru daripada Kementerian Kewangan berjumlah RM3 bilion;
Perjanjian pelaburan 1MDB dalam syarikat PetroSaudi;

Wang hasil pelaburan 1MDB di Cayman Islands sama ada sudah dibawa balik ke Malaysia; danPerubahan firma audit antarabangsa untuk meluluskan akaun 1MDB.

1.3. Laporan Interim

Laporan Interim telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 9 dan 10 Julai 2015 bagi melaporkan hasil pengauditan yang dijalankan antara 10 Mac hingga 15 Jun 2015. Laporan Interim terhad kepada membincangkan mengenai analisis penyata kewangan dan pelaburan dalam syarikat usaha sama dengan PetroSaudi, langganan nota murabahah dan Segregated Portfolio Company (SPC). PA telah meminta JAN menyemak beberapa aspek tambahan untuk diambil kira dalam penyediaan Laporan Akhir.

1.4. Laporan Akhir

Laporan Akhir ini mengandungi analisis penyata kewangan dan kedudukan kewangan Kumpulan 1MDB sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 serta prestasi pelaburannya dalam ekuiti, nota murabahah, dana portfolio, kumpulan SRC, sektor hartanah dan sektor tenaga. Laporan Akhir ini mengambil kira isu yang telah dilaporkan dalam Laporan Interim dan telah dikemas kini berpandukan dokumen yang diterima sehingga 31 Oktober 2015.

2. OBJEKTIF PENGAUDITAN

Pengauditan ini dijalankan berasaskan mandat daripada Jemaah Menteri dan PAC untuk menentusahkan penyata kewangan Kumpulan 1MDB yang telah diaudit serta menilai prestasi kewangan dan aktiviti Kumpulan 1MDB sama ada menepati objektif asal penubuhan syarikat.

3. SKOP DAN METODOLOGI PENGAUDITAN

3.1. Semakan JAN dijalankan terhadap penyata kewangan Kumpulan 1MDB yang telah diaudit bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2010 sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014. Penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 tidak dikemukakan kepada JAN kerana belum disediakan oleh 1MDB untuk diaudit. Namum, JAN telah melaksanakan pengauditan berdasarkan dokumen dan rekod berkaitan yang dikemukakan.

3.2. Pengauditan telah dijalankan dengan menggunakan kaedah seperti berikut:
Semakan terhadap Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat, minit-minit mesyuarat Lembaga Pengarah dan dokumen yang berkaitan penubuhan syarikat;
Semakan terhadap dokumen berkaitan dengan polisi dan prosedur, model perniagaan yang digunakan serta undang-undang dan peraturannya yang diwujudkan oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dan 1MDB;
Semakan terhadap perjanjian, kontrak dan dokumen kewangan yang berkaitan;
Temu bual dengan Lembaga Pengarah dan pengurusan syarikat serta juruaudit terdahulu dan kini di peringkat syarikat dan subsidiarinya;
Analisis kewangan berasaskan kepada penyata kewangan syarikat dan subsidiarinya yang telah diaudit dari tahun 2010 hingga 2014;

Menyemak dan menganalisis kertas kerja pengauditan firma audit swasta; Semakan terhadap keterangan prosiding PAC yang berkaitan dengan 1MDB; Lawatan tapak ke beberapa projek pelaburan hartanah dan tenaga 1MDB dalam negara; Analisis kewangan berdasarkan penyata kewangan bagi tempoh berakhir 31 Mac 2012 Kumpulan SRC International Sdn. Bhd. (SRC), iaitu mulai tarikh penubuhannya pada 7 Januari 2011 hingga tarikh dipindah milik kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 15 Februari 2012. Pengesahan terhadap pelaburan yang dibuat sebelum pindah milik telah diambil kira sehingga tarikh maklum balas pada 3 Disember 2015; dan
Mendapatkan kerjasama Bank Negara Malaysia(BNM) bagi transaksi kewangan dan pelaburan yang melibatkan institusi kewangan dalam dan luar negara.

4. LIMITASI PENGAUDITAN

4.1. JAN menghadapi limitasi semasa menjalankan pengauditan di mana sebahagian daripada dokumen asal dan penting lewat diserahkan atau tidak diserahkan oleh 1MDB bagi tujuan pengesahan transaksi dan sebagai bukti audit. Limitasi ini memberi impak yang signifikan terhadap pengauditan yang dijalankan dari segi mengesahkan kedudukan sebenar kewangan dan operasi syarikat serta transaksi-transaksi yang berkaitan. Antara dokumen penting yang tidak diserahkan adalah seperti di jadual berikut:

JADUAL 1.1
DOKUMEN YANG TIDAK DIKEMUKAKAN OLEH 1MDB

MAKLUMAT
i. Kedudukan kewangan Kumpulan 1MDB bagi tahun kewangan 2015:

a. Akaun Pengurusan (Management Account); dan

b. Penyata Kewangan Kumpulan 1MDB

II. Penyata/Pengesahan bank daripada institusi kewangan luar negara:

a. Singapura

  • BSI Bank-Brazen Sky
  • Deutsche Bank -1MDB Energy Holding Ltd.

b. Hong Kong

  • Falcon Private Bank Ltd.
  • 1MDB Energy Ltd.
  • 1MDB Energy (Langat) Ltd.

c. Switzerland

  • BSI Bank, Lugano
    • 1MDB Global Investments Ltd.

d. United Kingdom

  • Bank of New York Melon
    • 1MDB Energy Ltd.
    • 1MDB Energy (Langat) Ltd.
    • MDB Global Investments Ltd.

4.2. Tiada capaian dapat dibuat terhadap komputer, notebooks dan servers di 1MDB bagi mendapatkan data serta maklumat untuk tujuan rujuk silang dan analisis semasa pengauditan.

4.3. JAN juga tidak mendapat Minit Mesyuarat Pengurusan/Operasi 1MDB dari tahun 2009 hingga 31 Oktober 2015 dan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat usaha sama/subsidiari seperti berikut:

  • 1MDB PetroSaudi Ltd.
  • 1MDB International Holdings Ltd.
  • 1MDB Global Investments Ltd.
  • Brazen Sky Ltd.
  • SRC-Aabar Resources Ltd.
  • 1MDB Energy Holdings Ltd.
  • 1MDB Energy Ltd.
  • 1MDB Energy (Langat) Ltd.

5. PENUBUHAN 1MALAYSIA DEVELOPMENT BERHAD

5.1. Menteri Kewangan Diperbadankan(MKD) telah mengambi alih Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang ditubuhkan oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan (MBI Terengganu) pada 27 Februari 2009. Tujuan asal penubuhan TIA adalah untuk mewujudkan sovereign wealth fund dengan dana permulaan sejumlah RM11 bilion. Dana tersebut akan diperoleh daripada pendapatan royalti minyak tertangguk sejumlah RM6 bilion dan dana daripada terbitan bon di pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan Kerajaan Persekutuan menyediakan jaminan sejumlah RM5 bilion bersandarkan pendapatan minyak masa depan Terengganu.

5.2. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April 2009 telah meluluskan permohonan TIA supaya Kerajaan Persekutuan memberi jaminan kepada TIA untuk meminjam sehingga RM5 bilion daripada pasaran kewangan tempatan dan luar negara melalui Islamic Medium Term Notes (IMTN) untuk pelaburan. Jaminan yang dikeluarkan adalah selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 yang meliputi bayaran balik prinsipal dan faedah untuk tempoh 30 tahun.

5.3. Pada 15 Mei 2009, perjanjian program ditandatangani antara TIA dan AmInvestment Bank Berhad untuk urusan terbitan IMTN berjumlah RM5 bilion. Walaubagaimanapun, perancangan TIA ini mendapat bantahan daripada MBI Terengganu. Seterusnya, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengambil alih TIA. Pengambilalihan ini telah disempurnakan pada 31 Julai 20009 dan nama TIA telah ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 25 September 2009.

5.4. Setelah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan, 1MDB tidak lagi merupakan sebuah sovereign wealth fund tetapi sebagai sebuah syarikat pembangunan strategik yang menjadi syarikat milik penuh MKD dengan modal dibenarkan berjumlah RM1 bilion dan modal berbayar berjumlah RM1,000,002. Selaras dengan visi 1MDB untuk menjadi pemangkin strategik bagi membantu membawa idea dan sumber pertumbuhan baru serta meningkatkan daya saing negara dalam bidang ekonomi terutamanya dalam persekitaran global, 1MDB diberikan mandat utama antaranya adalah:

Melabur dalam projek yang boleh membantu memacu inisiatif strategik untuk pembangunan mampan jangka panjang dan menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung asing ke dalam negara.

Menggunakan rangkaian sovereign wealth fund yang sedia ada di Timur Tengah dan China bagi membawa masuk pelaburan langsung asing yang berpadanan untuk projek-projek negara.

5.5. Sejak penubuhannya, 1MDB telah terlibat dalam pelaburan antaranya seperti berikut:
Usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.;
Pelaburan dalam Segregated Portfolio Company (SPC);
Pelaburan dalam Kumpulan SRC;
Pelaburan dalam sektor hartanah; dan
Pelaburan dalam sektor tenaga.
Huraian berhubung pelaburan yang dibuat oleh 1MDB diterangkan dalam bab-bab berikutnya.

6. STRUKTUR TADBIR URUS DAN ORGANISASI KUMPULAN 1MDB

6.1 Berdasarkan Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB, struktur tadbir urus 1MDB dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu Lembaga Penasihat, Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi. Lembaga Penasihat bertanggungjawab memberikan bimbingan dan nasihat pelaburan serta perniagaan. Artikel 117 dalam M&A telah menggariskan beberapa keputusan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada YAB Perdana Menteri yang merangkumi perkara-perkara seperti berikut:
Sebarang perubahan terhadap M&A syarikat, sama ada secara keseluruhan ataupun sebahagiannya;

Sebarang pelantikan dan penamatan mana-mana pengarah (termasuk Pengarah Urusan dan Pengarah Alternatif) serta Pengurusan Tertinggi Syarikat; dan
Sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan semula atau perkara berkaitan jaminan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk kepentingan syarikat, kepentingan negara, keselamatan negara atau sebarang polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia. Atas tujuan ini, penentuan maksud ‘kepentingan negara’, ‘keselamatan negara’ dan ‘polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia’ hendaklah dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

6.2. Kedudukan keanggotaan Lembaga Penasihat, Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi 1MDB pada 31 Oktober 2015 serta senarai Ahli Lembaga Pengarah dari tahun 2009 hingga 2014 adalah seperti jadual-jadual berikut:

JADUAL 1.2
SENARAI LEMBAGA PENASIHAT 1MDB PADA BULAN OKTOBER 2015

NAMA JAWATAN
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia (Pengerusi)
Sheikh Hamad bin Jassim Bin Jabr Al-Thani Mantan Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar (Penasihat Khas)
Tan Sri Mohd Sidek Hassan Pengerusi Petronas
Tan Sri Dato’ Nor Mohamed Yakcop Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad
Tan Sri Dr. Ali Hamsa Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Khaldoon Khalifa Al Mubarak Pengerusi Lembaga Hal Ehwal Eksekutif Abu Dhabi; dan Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan, Mubadala Development Company
Chang Zhenming Pengerusi dan Presiden, CITIC Group China

Sumber: Laman Web 1MDB

JADUAL 1.3
SENARAI LEMBGA PENGARAH 1MDB PADA BULAN OKTOBER 2015

NAMA JAWATAN TARIKH LANTIKAN
Tan Sri Dato’ Seri Che Lodin Wok Kamaruddin Pengerusi 20 Oktober 2009
Pengarah Bukan Eksekutif 11 Ogos 2009
Tan Sri Dato’ Paduka Ismee Ismail Pengarah Bukan Eksekutif 23 Mac 2009*
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi Pengarah Bukan Eksekutif 23 Mac 2009*
Tan Sri Dato’ Ong Gim Huat Pengarah Bukan Eksekutif 12 Januari 2010
Ashvin Jethanand Valiram Pengarah Bukan Eksekutif 2 Februari 2010
Arul Kanda Kandasamy Presiden dan Pengarah Eksekutif 5 Januari 2015

Sumber: Laman Web 1MDB
Nota: (*) Lantikan Atas Nama TIA (TIA Ditukar Nama Kepada 1MDB Pada 25 September 2009)

JADUAL 1.4
SENARAI PENGURUSAN TERTINGGI 1MDB PADA BULAN OKTOBER 2015

NAMA JAWATAN
Arul Kanda Kandasamy Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan
Azmi Tahir Ketua Pegawai Kewangan
Ivan Chen General Counsel
Vincent Koh Beng Huat Ketua Pegawai Pelaburan
Badrul Hisham Abdul Karim Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan
Terence Geh Choh Heng Pengarah Eksekutif Kewangan

Sumber: Laman Web 1MDB

JADUAL 1.5
KEDUDUKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH 1MDB DARI TAHUN 2009 HINGGA 2014

NAMA TAHUN KEWANGAN
31.3.2010 31.3.2011 31.3.2012 31.3.2013 31.3.2014
Tan Sri Mohd Bakke Bin Salleh*

(dilantik pada 27.02.2009 dan 11.08.2009 dan letak jawatan pada 07.04.2009 dan 19.10.2009)**

    ✓     X     X     X     X
Tan Sri Azlan Mohd Zainol*

(dilantik pada 11.08.2009 dan letak jawatan pada 11.01.2010)

    ✓     X     X     X     X
Christophor Lee Sian Teik*

(dilantik pada 27.02.2009 dan letak jawatan pada 23.03.2009)

    ✓     X     X     X     X
Datuk Shahrol Azral Bin Ibrahim Halmi*(dilantik pada 23.03.2009)     ✓     ✓     ✓     ✓     ✓
Tan Sri Dato’ Paduka Ismee Bin Haji Ismail* (dilantik pada 23.03.2009)     ✓     ✓     ✓     ✓     ✓
Tan Sri Dato’ Seri Che Lodin Bin Wok Kamaruddin*

(dilantik pada 11.08.2009)

    ✓     ✓     ✓     ✓     ✓
Tan Sri Dato’ Ong Gim Huat

(dilantik pada 12.01.2010)

    ✓     ✓     ✓     ✓     ✓
Ashvin Jethanand Valiram

(dilantik pada 02.02.2010)

    ✓     ✓     ✓     ✓     ✓
Mohd. Hazem Bin Abd. Rahman

(dilantik pada 15.03.2013 dan letak jawatan pada 01.01.2015)

    X     X     X     ✓     ✓

Sumber: Dokumen 1MDB

Nota: (*) Lantikan Atas Nama TIA (TIA Ditukar Nama Kepada 1MDB pada 25 September 2009)
(**) Telah Meletakkan Jawatan Dan Dilantik Semula

6.3. Pada tahun 2009 dan 2010, 1MDB hanya mempunyai satu subsidiari, iaitu 1MDB Real Estates Sdn. Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai City Streams Sdn Bhd. dan satu sub-subsidiari, iaitu Raintree Summit Sdn. Bhd. seperti dalam Lampiran A. Mulai tahun 2011, aktiviti 1MDB telah bertambah kepada tiga sektor, iaitu pegangan pelaburan (investment holding), hartanah (real estate) dan berkaitan tenaga (energy related). Selaras dengan ini, bilangan syarikat dalam Kumpulan 1MDB telah bertambah kepada 10 syarikat seperti dalam Lampiran B. Pada tahun 2012, Kumpulan 1MDB telah menyusun semula struktur organisasinya menjadikan bilangannya bertambah kepada 18 syarikat seperti dalam Lampiran C.

6.4. Seterusnya pada tahun 2013, Kumpulan 1MDB telah berkembang dengan pesat apabila syarikat mula melabur dalam sektor tenaga dengan mengambil alih syarikat pengeluar tenaga bebas. Pengambilalihan terbesar dilakukan dengan perolehan Kumpulan Powertek Energy Sdn. Bhd. yang mempunyai 57 syarikat sedia ada. Perkembangan struktur Kumpulan 1MDB ditunjukkan secara terperinci dalam Lampiran D.

6.5. Pada tahun 2014, struktur Kumpulan 1MDB terus berkembang dengan pengambilalihan Jimah O&M Sdn. Bhd. Dan Jimah Teknik Sdn. Bhd. yang beroperasi dalam sektor tenaga menjadikan keseluruhan syarikat Kumpulan 1MDB kepada 96 syarikat. Perkembangan struktur organisasi Kumpulan 1MDB diperincikan dalam Lampiran E.


Chapters


English translations


Translate